Subscribe Twitter

Sunday 27 March 2011

0
Komen

Cuba bunuh diri di pusat beli-belah KB Mall


JATUH TAPI SELAMAT... Anggota Bomba dan Penyelamat Kota Bharu serta Pengkalan Chepa cuba menyelamatkan seorang gadis yang dipercayai mahu membunuh diri dengan terjun dari tingkat atas bangunan Pusat Beli-Belah KB Mall, petang semalam. Bagaimanapun gadis berkenaan meronta-ronta menyebabkannya terjatuh. Namun dia selamat kerana terjatuh atas tilam.


KOTA BHARU: Sekeping tilam yang dipinjam dari premis berdekatan memisahkan seorang gadis berusia lingkungan 20-an dengan maut selepas dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga pusat beli-belah KB Mall di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, gadis berkenaan yang memakai baju-T putih dan berseluar jeans biru, sempat mengacukan pisau kepada anggota bomba yang cuba menghalangnya dari terjun dari ketinggian kira-kira 30 meter.
Kejadian yang mengundang panik ratusan pengunjung pusat beli-belah berkenaan itu, turut menyaksikan drama mendebarkan apabila gadis itu tergantung kira-kira tiga minit ketika anggota bomba cuba memaut tangannya sebelum dia jatuh dan mendarat di atas tilam berkenaan.


Difahamkan, gadis itu cuba membunuh diri kerana menghadapi masalah cinta dengan teman lelakinya. Click Here Saksi kejadian, Mohd Syah Azrul Afandi Yusof, 25, berkata, sebelum menyaksikan aksi mendebarkan itu, dia melihat gadis berkenaan mundar-mandir di tingkat berkenaan dan terkejut apabila dia cuba mengelar lengannya dengan pisau. “Sebelum jam 4 petang, saya lihat dia di berlegar-legar di tingkat tiga pusat beli-belah KB Mall.
Dia juga dilihat cuba mengelar leher dan lengannya. “Tindakannya itu disedari orang ramai yang kemudian menghubungi bomba,” katanya. Sementara itu, Penguasa Bahagian Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Shahrin Yusmal Mat Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.54 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu serta Pengkalan Chepa.




Menurutnya, mereka terpaksa memujuk dan bergelut selama 20 minit dengan gadis terbabit memandangkan dia enggan bekerjasama, malah mengacukan pisau menyebabkan tiga anggota bomba yang cuba menyelamatkannya mengambil langkah berhati-hati.
“Mangsa enggan bekerjasama dan meronta-ronta minta dilepaskan menyebabkan berlakunya pergelutan. Ketika usaha memujuk, mangsa yang memegang sebilah pisau turut mengacukan senjata itu kepada anggota bomba.
“Kita sempat memaut tangannya tetapi gadis itu meronta-ronta menyebabkan dia terjatuh selepas pautan tangannya terlepas daripada pegangan anggota bomba,” katanya.


0 comments: