Subscribe Twitter

Sunday 27 March 2011

0
Komen

157,000 peluang kerja menjelang 2020




SEKTOR elektrik dan elektronik (E&E) di negara ini dijangka mampu menyediakan 157,000 peluang pekerjaan tambahan sama ada berkemahiran tinggi dan sederhana menjelang 2020.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sektor itu juga diharap dapat meningkatkan sumbangan kepada pendapatan negara kasar (PNK) daripada RM53 bilion kepada RM90 bilion dalam tempoh sama.
“Malaysia sudah mengenal pasti 15 peneraju projek permulaan (EPP) dengan nilai tambah yang tinggi di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk memperkasakan sektor berkenaan, selaras dengan hasrat untuk mengukuhkan kemampuan sektor terbabit dalam rantaian nilainya.
“Sehubungan itu, kerajaan sentiasa memperkenalkan insentif liberalisasi dalam usaha membuka Malaysia kepada peluang pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor ekonomi utama.
“Jadi, saya harap persekitaran properniagaan di negara ini akan terus menarik lebih ramai pelabur multinasional berpotensi ke Malaysia,” katanya pada pelancaran satu-satunya Pusat Perkhidmatan Global AMD di Cyberjaya, semalam.
Hadir sama Naib Presiden Kanan dan Kawalan Korporat AMD, Devinder Kumar.Naib Presiden Korporat dan pemangku Ketua Pegawai Maklumat AMD, Tom Painter; Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation (Mdec), Datuk Badlisham Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq.
Pembukaan Pusat Perkhidmatan Global pertama AMD itu bertujuan memenuhi peningkatan permintaan dalam rangkaian global AMD terhadap perkhidmatan organisasi dan operasi, sekali gus mengukuhkan kehadiran syarikat itu di Malaysia.
Berkeluasan 243,840 meter persegi, pusat perkhidmatan itu menjadikan AMD satu-satunya syarikat global yang mempunyai operasi kewangan global dan perakaunan serta teknologi maklumat (IT) bersepadu di Malaysia.
Pusat itu meletakkan AMD sebagai satu-satunya syarikat global yang mempunyai operasi kewangan dan perakaunan serta teknologi maklumat (IT) global yang bersepadu sepenuhnya di negara ini.
Sementara itu, Devinder berkata, pembukaan pusat perkhidmatan baru menjadi bukti komitmen berterusan pihaknya kepada Malaysia dalam usaha memperluaskan inisiatif perkhidmatan global yang dilancarkan di Pulau Pinang pada 2006.
“Global AMD akan menyokong dan menyediakan rangkaian global dalaman kami di dalam beberapa bidang seperti kewangan dan perakaunan; IT, sumber manusia, perolehan dan perkhidmatan perniagaan lain.
“Selain itu, kami boleh melaksanakan transformasi perniagaan melalui perkhidmatan berasaskan pengetahuan seperti pengurusan projek, proses reka semula perniagaan serta aplikasi kajian dan penyelidikan (R&D),” katanya.

0 comments: