PENGELUAR perkakasan komputer dan telefon pintar Apple Inc secara rasmi memperkenalkan tablet popular iPad versi kedua (iPad 2) selepas kejayaan syarikat menjual produk tablet pertama mereka tahun lalu.
Pengasasnya yang membuat penampilan mengejut awal pagi tadi, Steve Jobs berkata, Apple berjaya menjual sebanyak 15 juta iPad bagi tempoh April hingga Disember 2010.
“Jualan terbabit menyaksikan kami meraih kira-kira RM30 bilion untuk tablet itu seterusnya menjadikan penguasaan pasaran 90 peratus,” katanya ketika pelancaran iPad 2 di San Francisco, Amerika Syarikat, semalam.
Jobs sepatutnya masih bercuti sakit berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya, baru-baru ini.
Beliau turut mendedahkan aplikasi iPad sehingga kini mencecah 65 ribu aplikasi yang dibangunkan individu atau syarikat.
Jobs turut menyindir beberapa vendor lain dengan mengatakan tahun 2011 adalah tahun ciplak untuk tablet di dunia.
“Tahun 2010 adalah tahun iPad dan 2011 mungkin tahun ciplak, kalau kami tidak mencipta iPad, mungkin pengeluaran tablet akan bergerak sedikit perlahan,” kata Jobs.
iPad 2 menggunakan cip pemprosesan dua kali lebih pantas berbanding versi pertamanya selain reka bentuk nipis dan ringan serta mempunyai pemprosesan grafik berkuasa tinggi.
“Model iPad versi baru memiliki kamera depan itu membolehkan aplikasi persidangan video dilakukan selain mempunyai kapasiti memori lebih besar,” jelas Jobs.
Ia mula dijual 25 Mac di 26 negara termasuk Australia, Austria, Belgium, Kanada, Republik Czech, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Iceland, Itali, Ireland, Hungary, Jepun dan Luxembourg.
Selain itu, ia akan didapati di Mexico, Belanda, New Zealand, Norway, Poland, Portugal, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan United Kingdom.
0 comments:
Post a Comment