Subscribe Twitter

Sunday 27 March 2011

0
Komen

Dasar Penswastaan Dari Sudut Ekonomi Politik

EKONOMI POLITIK DASAR PENSWASTAAN 
Pendahuluan  Ekonomi politik adalah satu pendekatan dalam bidang sains sosial yang digunakan untuk melihat fenomena dunia secara menyeluruh. Ia juga satu kaedah bagi melihat bagaimana hubungan ekonomi dan politik yang berkait rapat di dalam dunia yang begitu kompleks. Menerusi pendekatan ini, seseorang penyelidik dapat melihat dan mengkaji bagaimana sesuatu polisi atau dasar yang diambil kerajaan mempunyai hubungan yang rapat dan bertujuan mendapatkan kelebihan dalam bidang ekonomi. Ekonomi politik wujud dan dapat dilihat dengan ketara merangkumi faktor-faktor pengeluaran, penggunaan buruh dan cara pengagihan dilakukan dengan melihat kepada peranan politik atau negara dan ekonomi yang juga disebut sebagai pasaran.Maka, ekonomi politik melihat ekonomi sebagai manisfestasi yang berlindung di bawah pelbagai polisi dan undang-undang yang ditetapkan oleh kuasa politik atau kerajaan. Perbincangan yang meluas mengenai ekonomi politik menghasilkan teori-teori seperti ekonomi politik klasik, neo-klasik, Keynesian, Marxist, neo-Marxist dan sebagainya. Kesemua teori ini mempunyai pandangan berbeza mengenai interaksi ekonomi dan politik serta aspek-aspek pengeluaran, pengagihan dan kekayaan. Menurut Adam Smith (1723-1790) di dalam The Wealth Of Nation, ekonomi politik adalah satu cabang sains kenegaraan di mana seseorang negarawan itu mempunyai tanggung jawab mencapai dua objektif, pertamanya memberi kekayaan yang banyak kepada rakyat dan pada masa yang sama menyumbang kekayaan kepada negara bagi membolehkan usaha meyediakan perkhidmatan awam yang mencukupi kepada warganegara. Dalam kata lain, ekonomi politik dapat memberi kekayaan kepada kedua-dua pihak iaitu rakyat dan negara.Dalam makna yang lebih mudah, politik di dalam metodologi ini dirujuk kepada penggunaan kuasa oleh negara untuk membuat keputusan mengenai siapa mendapat apa, bila dan bagaimana di dalam masyarakat. Politik adalah proses pilihan bersama, membabitkan nilai dan minat yang bersaing oleh pelbagai pelaku termasuk individu-individu, kumpulan-kumpulan, perniagaan-perniagaan dan parti-parti politik. Manakala ekonomi pula adalah berhubung kait dengan sumber-sumber yang diagihkan untuk penggunaan yang pelbagai di kalangan individu menerusi proses pasaran. Analisa ekonomi dan analisa politik sering kali melihat kepada persoalan yang sama tetapi analisa ekonomi kurang menekankan isu-isu kuasa dan lebih kepada isu-isu kekayaan dan pendapatan serta minat-minat individu. Ekonomi politik menggabungkan kedua-dua kaedah untuk melihat fenomena dunia bagi mendapatkan kefahaman yang lebih luas.Berdasarkan perbincangan mengenai ekonomi politik ini, maka jelaslah tujuan esei ini melihat kepada Dasar Penswastaan yang menjadi agenda besar-besaran dunia sejak diperkenalkan lebih 20 tahun lalu oleh kuasa kapitalis dunia iaitu Amerika Syarikat dan Britain. Tulisan ini akan membincangkan dan seterusnya mengaitkan pelaksanaan dasar tersebut dari segi ekonomi dan politik. Bagaimana ia dilaksanakan oleh kuasa politik bagi kepentingan ekonomi sesebuah negara. Dengan sokongan organisasi-organisasi seperti Bank Dunia, Tabung Dana Antarabangsa, IMF dan Bank Pembangunan Asia, dasar ini tidak dapat dielakkan lagi kerana ia berjaya memberi faedah yang besar kepada kerajaan yang melaksanakannya terlebih dahulu. Dari segi pendapatan negara, kerajaan dapat memungut pelbagai cukai hasil kejayaan syarikat-syarikat swasta dan dengan lahirnya lebih ramai kelas-kelas menengah yang menikmati imbuhan besar hasil dasar ini, membentuk masyarakat sivil yang kukuh bagi memastikan kerajaan yang mengamal dasar ini terus menikmati keutuhan politik.  Definisi Dasar Penswastaan  Dasar Penswastaan adalah fenomena politik dan ekonomi yang dilaksanakan pada hari ini di Barat dan juga Timur, oleh negara maju dan negara sedang membangun, oleh negara berideologi demokrasi dan diktator serta negara-negara kapitalis, sosialis dan komunis. Dasar ini bermaksud pemindahan kepentingan atau pelaburan tertentu kerajaan kepada sektor swasta. Definisi lain adalah kepentingan bersama iaitu kerajaan dan rakyat yang menjadi asas kepada organisasi awam akan bertukar bentuk kepada kepentingan persendirian yang berasaskan keuntungan. Dengan itu, kuasa membuat keputusan kini beralih daripada tangan orang ramai kepada pihak swasta atau pemilik baru organisasi awam. Pengertian lain yang diberikan kepada dasar ini adalah pengurangan campur tangan kerajaan dalam kegiatan ekonomi. Pendapat lain adalah mengenai maksud penswastaan adalah lebih kepada fenomena politik berbanding ekonomi, fiskal atau pentadbiran. Daripada perspektif ini, penswastaan menjadi strategi polisi yang digunakan untuk mengalih kuasa di kalangan pelbagai institusi, mengubah kapasiti struktur kerajaan dan tanggung jawabnya, penyusunan semula institusi pembuat keputusan dan membentuk kumpulan seminat serta kelas masyarakat yang baru (Feigenbaum dan Henig 1994), (Gormley 1994), (Chamberlin dan Jackson 1987). Rakyat juga akan lebih bergantung kepada institusi-institusi swasta berbanding kerajaan bagi memenuhi keperluan-keperluan mereka (Savas 1992). Latar belakang Dasar Penswastaan  Pelaksanaan dasar ini menjadi agenda besar-besaran ekonomi dunia sejak 1980-an selepas diperkenalkan oleh dua pengamal dari negara kapitalis iaitu Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan dan Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher. Kedua-dua pemimpin ini menyokong kuat amalan pasaran bebas di dalam negara dan pada peringkat antarabangsa dengan campur tangan kerajaan paling sedikit dari segala segi aktiviti ekonomi. Selain itu, dasar ini juga diperkenalkan dengan elemen-elemen anti-komunis yang ketara berikutan era Perang Dingin ketika itu. Ketika gerakan komunis dan sosialis bertujuan untuk menghapuskan harta swasta yang menyebabkan penindasan berleluasa terhadap golongan proletariat, dasar penswastaan dengan usaha yang jelas cuba meluaskan penguasaan harta-harta swasta di kalangan rakyat yang berkemampuan serta berkepentingan.Kejayaan polisi ini di Amerika Syarikat dan
Britain serta dengan kejatuhan Blok Komunis menjadikan ia begitu meluas diamalkan di seluruh dunia. Pengurangan peranan kerajaan di dalam pasaran dilakukan menerusi pengurangan kuasa kerajaan terhadap industri, penswastaan sektor awam dan pengurangan beban cukai oleh individu dan perniagaan. Pemilihan Margaret Thatcher pada 1979 sebagai Perdana Menteri Britain dan kemenangan Ronald Reagan sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 1980 menggerakkan penswastaan sebagai dasar baru. Beberapa siri proses denasionalisasi dan penjualan syarikat-syarikat milik kerajaan
Britain misalnya bermula seawal 1979 iaitu membabitkan British Petroleum, British Aerospace, Britoil, National Freight Corporation, Cable & Wireless, Jaguar, British Telecom, British Gas, British Airways, Rolls Royce dan pelbagai lagi syarikat tunjang negara.
Amerika Syarikat pula tidak mempunyai begitu banyak syarikat awam tetapi aktif menswastakan dengan penawaran kontrak kepada perkhidmatan sokongan, pemprosesan data, perkhidmatan makanan, penyelenggaraan bangunan dan perkhidmatan kawalan keselamatan pada peringkat kerajaan pusat. Manakala pada peringkat kerajaan tempatan, perkhidmatan langsung kepada pengguna seperti pembersihan jalan raya, kutipan sampah, perkhidmatan ambulans dan pelbagai lagi diswastakan kepada kontraktor-kontraktor (Savas 1992).Di kalangan negara sosialis,
China adalah yang pertama melaksanakan dasar ini bermula dengan sektor pertanian pada 1978 menerusi penghapusan ladang-ladang milik kerajaan dan menukar kepada ladang swasta. Ia menghasilkan pengeluaran makanan yang meningkat dan menamatkan masalah kebuluran ketika itu. Industri sektor swasta dan operasi perniagaan dibenarkan untuk penswastaan hanya pada 1980-an sebagai sebahagian progam reformasi ekonomi China. Ia membabitkan pemilikan yang pelbagai iaitu pengkoperasian, pemilikan bersama, perkongsian, perkongsian tempatan dan pemilikan menerusi saham. 
Kejatuhan blok komunis Eropah Timur pada 1989 menggalakkan pelaksanaan dasar ini di Hungary, Poland dan Czechoslovakia. Kesatuan Soviet pula menukar rangka kerja perundangannya pada 1990 untuk membenarkan penswastaan bagi pemilikan faktor-faktor pengeluaran. Negara-negara Baltik pula seperti Bulgaria, Romania dan Slovenia turut melaksanakan dasar yang sama. Vietnam yang terdesak untuk bangkit dari segi ekonomi juga membenarkan penggabungan syarikat-syarikat swasta dan di Cuba, kerajaannya mula menjual perumahan awam kepada penyewa seperti yang dilakukan
Britain sebelum ini.
Dengan ini, jelas kesan besar yang dibawa oleh dasar ini tidak kira apa fahaman sesebuah kerajaan itu, dasar ini tetap akan memberi apa yang diperlukan oleh sebuah negara iaitu ekonomi yang kukuh dan politik yang stabil kerana menerusi penguasaan masyarakat sivil dan kekayaan yang dicipta di dalam negara memberi sesuatu kepada warganegaranya untuk melupakan sebarang tentangan kepada kerajaan.Alasan-alasan untuk melaksanakan dasar ini terbahagi kepada empat iaitu pragmatik, ideologikal, komersil dan populis. Matlamat kelompok pragmatis adalah untuk meningkatkan tahap keberkesanan di dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Mereka yang melaksanakan dasar ini di atas faktor gerakan ideologi adalah untuk mengurangkan peranan kerajaan berbanding sektor swasta, manakala yang bersifat komersil adalah melakukan lebih kerja untuk menjana keuntungan. Matlamat populis pula untuk mencapai masyarakat yang lebih baik dengan memberikan kuasa kepada rakyat menerusi dasar ini serta memenuhi kehendak mereka menerusi pengurangan kuasa birokrasi sektor awam.Dengan itu matlamat-matlamat keseluruhan pelaksanaan dasar ini boleh dibahagikan kepada berikut:
1.         Mengurangkan perbelanjaan kerajaan – Objektif ini adalah paling banyak digunakan berikutan organisasi awam sering kali dikaitkan dengan jumlah kakitangan yang ramai kerana sifat organisasi awam sebagai penaung dan pemberi pekerjaan kepada orang ramai. Berikutan organisasi yang besar dengan pekerja yang ramai tetapi ia tidak mampu menjana keuntungan kerana prinsip organisasi awam adalah pemberi perkhidmatan kepada rakyat. Berikutan itu, proses pertama yang dilakukan apabila dasar ini dilaksanakan adalah pengecilan saiz organisasi dan mengurangkan jumlah pekerja. Dengan itu, kerajaan tidak lagi perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk membayar gaji dan menguruskan organisasi yang tidak memberi pendapatan.
2.         Meningkatkan keberkesanan dan kecekapan organisasi – Organisasi dan kakitangan awam di mana-mana negara mendapat label sebagai lembab, tidak bermotivasi di dalam memberi perkhidmatan serta tidak cekap berbanding sektor swasta. Menerusi dasar ini, pendekatan berbeza digunakan kerana motif keuntungan organisasi memerlukan sebuah organisasi yang cekap dan pekerja yang kreatif bagi mencapai tujuan itu. Bagaimanapun, berdasarkan kajian menunjukkan peningkatan kecekapan dan prestasi adalah tidak dijamin walaupun pertukaran status awam kepada swasta seringkali dikaitkan dengan peningkatan prestasi organisasi (Parker 1993).
3.         Meningkatkan kualiti dan maklum balas terhadap aduan orang ramai – Pendekatan yang digunakan oleh sektor swasta adalah berbeza dan dianggap lebih berkualiti daripada sektor awam. Kebanyakan kerajaan memberi alasan ini untuk melaksanakan dasar penswastaan kerana ia boleh meningkatkan kualiti menerusi pelaburan terhadap teknologi terkini misalnya dan kelengkapan lain yang membolehkan sesebuah organisasi bertindak balas dengan cepat kepada aduan orang ramai.
4.         Meningkatkan pendapatan negara – Seiring dengan peningkatan jumlah syarikat awam yang diswastakan, cukai-cukai yang dikenakan terhadap syarikat-syarikat memberi kesan yang besar kepada pendapatan negara. Selain itu, kemasukan pelaburan asing juga memberi kerajaan satu sumber pendapatan yang dapat mengukuhkan ekonomi sesebuah negara.
5.         Meluaskan pemilikan aset-aset ekonomi – Dasar ini membenarkan beberapa konsep pemilikan bersama dilakukan berasaskan kepentingan sesebuah negara. Konsep asas yang biasa diamalkan menerusi dasar ini adalah pengapungan awam, penjualan swasta, pelan pemilikan saham perkongsian antara pekerja dan majikan serta lain-lain lagi.
6.         Disentralisasi ekonomi – Dasar Penswastaan dengan jelas mengurangkan peranan kerajaan di dalam pasaran menerusi proses disentralisasi. Dengan itu, diharapkan melalui dasar ini, akan berlaku persaingan lebih kompetitif di dalam pasaran dan pengguna akan mempunyai pilihan yang lebih banyak dalam mencapai kepuasan. Bagaimanapun, di dalam pasaran sebenar, monopoli tetap berlaku terutama kepada perkhidmatan dan produk-produk keperluan asas pengguna seperti tenaga elektrik, air, telekomunikasi dan sebagainya. Penswastaan hanya berlaku pada peringkat pengurusan dan pengguna perlu membayar lebih untuk menikmati perkhidmatan monopoli yang diberikan.
Seperti ulasan V.I. Lenin:
“Monopoly is exactly the opposite of free competition, but we have seen the latter being transformed into monopoly before our very eyes, creating large-scale industry and eliminating small industry, replacing large-scale industry by still larger-scale industry, finally leading to such a concentration of production and capital that monopoly has been and is the result”.
7.         Mempercepatkan pembangunan ekonomi – Kombinasi antara kerajaan dan sektor swasta boleh mempercepatkan pembangunan ekonomi dan fizikal. Menerusi pemberian projek-projek kerajaan kepada sektor swasta mempercepatkan pembangunan sesebuah negara. Pertukaran teknologi khususnya yang dikuasai oleh sektor swasta memberi kelebihan kepada kerajaan dalam mempercepatkan kemajuan dan seterusnya meningkatkan ekonomi.
8.         Menarik pelaburan baru – Menerusi dasar ini, jelas memberi kelonggaran kepada pelabur-pelabur asing terutamanya untuk datang dan menanam modal di dalam syarikat-syarikat swasta dan organisasi awam yang ingin diswastakan dengan tujuan memudahkan peralihan teknologi luar ke dalam sesebuah negara. Bagaimanapun, kebanyakan negara mengenakan syarat-syarat lebih ketat dan menggalakkan perkongsian antara pelabur tempatan dan luar terhadap sesuatu organisasi terutama jika syarikat-syarikat tersebut mempunyai kepentingan seperti bagi menembusi pasaran antarabangsa dan mendapatkan teknologi.
9.         Mendapatkan sokongan popular – Dengan meluasnya pelaksanaan dasar ini akan turut melahirkan masyarakat sivil dan kelas-kelas pertengahan yang menikmati hasil lumayan daripada dasar ini. Seperti di Malaysia misalnya, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, DEB yang mempunyai kaitan dengan dasar ini bertujuan meluaskan pemilikan saham oleh kelompok etnik tertentu untuk terus bersaing di dalam pasaran.
Jadi, kerajaan sebagai pelaksana dasar ini memperolehi sokongan popular daripada mereka yang menikmati hasil dasar ini. Berdasarkan pandangan Antonio Gramsci (1891-1937) yang mengemukakan teori hegemoni, sesiapa yang dapat menguasai masyarakat sivil akan menguasai politik. Masyarakat sivil dalam konteks ini termasuklah media cetak, elektronik, badan-badan, organisasi-organisasi, pertubuhan-pertubuhan, sekolah-sekolah dan sebagainya. Dengan demikian, menerusi dasar penswastaan ini, kebanyakan mereka memperolehi dan menikmati imbuhan yang besar seperti kontrak-kontrak, tender-tender dan sebagainya daripada kerajaan. Selain itu, masyarakat sivil ini kebanyakannya menguasai dewan-dewan perniagaan dan persatuan-persatuan yang memudahkan mereka mendapat kelebihan berbanding masyarakat lain.
10.       Memuaskan pihak pemberi pinjaman luar – Seperti telah diketahui, agensi luar yang aktif menyokong dasar ini adalah Bank Dunia, IMF dan Bank Pembangunan Asia yang juga pemberi pinjaman kewangan terbesar dunia. Dengan menuruti agenda mereka, akan membolehkan pinjaman luar lebih senang diperolehi oleh sesebuah kerajaan.
11.       Memperbanyakkan peluang pekerjaan – Objektif dasar ini secara umumnya adalah jelas iaitu usaha memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada rakyat menerusi pelbagai projek kerajaan yang diswastakan merangkumi pembinaan, telekomunikasi, perkhidmatan, pengangkutan dan sebagainya. Pada masa yang sama, penindasan terhadap golongan pekerja juga berleluasa dan dapat dijelaskan menerusi pendekatan Marxisme.  
 Berikutan kesan hebat dasar ini yang telah terbukti di semua negara yang mengamalkannya, pelbagai negara termasuk negara-negara komunis seperti China dan Russia serta negara-negara Eropah Timur turut melaksanakan dasar ini untuk tujuan pengukuhan ekonomi serta perkembangan pesat yang meluas sistem ekonomi kapitalisme di seluruh dunia dan tidak dapat dihalang lagi oleh sistem sosialis serta komunis.  Contoh Pelaksanaan Dasar Penswastaan DiMalaysia Dasar ini diperkenalkan di Malaysia pada 1983 berikutan kelembapan prestasi sektor awam yang memerlukan perubahan polisi. Kritikan ketika itu begitu ketara sehingga kakitangan sektor awam dilabel sebagai lembab, tidak produktif serta kurang kreatif dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai. Pendekatan untuk beralih kepada penswastaan ini dipersoalkan kerana tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengubah mentaliti dan prestasi kakitangan sektor awam selain pendekatan penswastaan (Jomo 1992). Penswastaan sebenarnya tidak mengatasi masalah pada peringkat akar umbi seperti melatih kakitangan sektor awam ke arah lebih cekap dan berkesan dalam memberi perkhidmatan kepada pengguna. Di Malaysia, penswastaan dilihat sebagai peralihan kuasa monopoli kepada pihak swasta untuk memaksimumkan keuntungan.
Malaysia menjadi antara negara terawal melaksanakan dasar ini di bawah pentadbiran Tun Mahathir Mohammad. Dari sudut ekonomi politik, jelas dasar ini digunakan bagi membolehkan kaum Bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru, DEB menikmati pertumbuhan ekonomi yang setanding bangsa-bangsa lain. Bagi pemerhati luar, campur tangan kerajaan ini bersifat sosialisme dan sokongan kepada dasar penswastaan sebagai langkah ke arah pengukuhan hegemoni kapitalis. Berikutan itu, ia memberi kesan langsung dari segi kebajikan kepada rakyat terutama kakitangan awam, pengguna dan golongan miskin (Jomo 1992). Antara syarikat awam yang diswastakan sejak tahun 1980-an di Malaysia termasuk Syarikat Penerbangan Malaysia, Telekom Malaysia Berhad, Perbadanan Otomobil Nasional, PROTON dan lain-lain. Bidang lain yang diswastakan adalah tenaga elektrik, air, telekomunikasi dan keperluan penting pengguna yang lain.Pelan Induk Penswastaan, PIP diperkenalkan di negara ini bagi melaksanakan dasar ini dan membenarkan bentuk-bentuk pelaksanaan penswastaan seperti berikut:
  • Penswastaan keseluruhan
  • Penswastaan sebahagian
  • Penswastaan terpilih
  • Penswastaan kontrak
  • Penswastaan bina-kendali-pindah, BOT dan bina-kendali, BO
  • Penswastaan pajakan
  • Penswastaan pemilikan saham
  • Penswastaan bercorak pengurusan
  • Penswastaan melalui perubahan
Berdasarkan jenis-jenis penswastaan ini amat jelas bahawa kerajaan pada praktiknya mempunyai peranan yang luas dalam pasaran dengan menguasai syarikat-syarikat swasta menerusi pemilikan saham bersama atau pelantikan mereka yang mempunyai hubungan terus serta berkepentingan dengan institusi politik. Di Malaysia, pelaksanaan dasar penswastaan juga merujuk kepada aktiviti-aktiviti berikut berdasarkan keterangan K.S Jomo di dalam bukunya “Privatizing Malaysia: Rents, Rhetoric, Realities” (1995):
·        Penjualan atau pelucutan pemilikan awam yang bermaksud perkhidmatan awam terbabit perlu dikorporatkan secara sah sebagai syarikat berhad bagi memudahkan penjualannya seperti penubuhan Syarikat Telekom Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan lain-lain.
·        Penjualan saham minoriti atau majoriti syarikat yang dimiliki negara kepada orang awam seperti Sistem Penerbangan Malaysia, MAS pada 1985 dan Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia, MISC pada 1987.
·        Penjualan saham kepada pelabur institusi contohnya penjualan 5 peratus saham MAS kepada kerajaan Brunei pada 1986.
·        Penjualan atau penyewaan asset fizikal seperti penjualan Hospital Lady Templer kepada syarikat Rampai Muda dalam tahuan 1984.
·        Pelaburan bersama kerajaan dan sektor swasta. Ini jelas dilihat pada tahun 1983 dengan penubuhan Perbadanan Otomobil Nasional, Proton dengan pegangan saham 70 peratus oleh Syarikat Industri Berat Malaysia, HICOM, 30 peratus saham dimiliki oleh Syarikat Mitsubishi dan Syarikat Motor Mitsubishi.
·        Pembiayaan projek-projek infratruktur oleh sektor swasta menerusi skim-skim yang dirangka kerajaan misalnya pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan dan pembinaan skim rumah murah pada pertengahan 1980-an.
·        Pengeluaran kontrak kerja dan perkhidmatan kepada kontraktor luar yang sebelum dilaksanakan oleh kerajaan seperti
medan letak kereta, kutipan sampah, perkhidmatan terminal kontena Pelabuhan Klang dan pembangunan telekomunikasi.
·        Membenarkan persaingan swasta yang sebelum ini dimonopoli oleh pihak kerajaan. Sebagai contohnya, pelancaran saluran TV3 pada 1984 yang dimiliki oleh Sistem Televisyen Malaysia Berhad untuk memberi saingan kepada Radio Televisyen Malaysia, RTM.Selepas 20 tahun, Dasar Penswastaan Malaysia[1] ini terus diamalkan dengan meluas dan begitu banyak projek terus diberikan kepada syarikat-syarikat awam yang diswastakan yang kemudian menjana begitu banyak keuntungan.  
Hubungan Masyarakat Sivil Dan Dasar Penswastaan Di Malaysia 
Tradisi Marxis terutama yang dipelopori oleh Antonio Gramsci menganalisa bagaimana sistem kapitalisme begitu berjaya dan meluas tanpa ada revolusi oleh golongan pekerja di Eropah pada abad ke-20. Gramsci mendapati kejayaan utama sistem kapitalisme adalah kerana kejayaan mereka menguasai masyarakat sivil menerusi hegemoni iaitu persetujuan untuk mendapatkan kuasa tanpa kekerasan.            Takrifan lain berhubung masyarakat sivil adalah sebagai satu kesatuan sivil diterjemahkan sebagai ruang tindakan yang bebas daripada pengaruh pemerintah dan amat berpotensi untuk menggerakkan penentangan politik terhadap regim pemerintah terutama yang bersifat oligarki.            Masyarakat sivil adalah satu set institusi bukan kerajaan yang mempunyai kekuatan untuk mengimbangi kuasa kerajaan, menghalang tindak tanduk pemerintah yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan. Masyarakat sivil juga bertindak sebagai pengawal keamanan dan penjaga kepentingan umum. Masyarakat sivil juga adalah sebuah institusi yang mampu menghalang pemerintah daripada mendominasi dan memanipulasi majoriti masyarakat. Selain itu, masyarakat sivil kebiasaannya digunakan untuk menjelaskan hubungan sosial yang bukan sahaja semata-mata ebrsifat persendirian atau awam tetapi hubungan sosial yang terkandung di dalam sesebuah organisasi yang bersifat sukarela yang bertujuan memoralkan sistem yang telah sedia wujud. Ia dapat dilihat di dalam konteks kesatuan sosial seperti pertubuhan bukan kerajaan, NGO, persatuan-persatuan, dewan perniagaan dan sebagainya.Dalam kerangka pemikiran Marxis ini, perbincangan mengenai masyarakat sivil mestilah menumpukan kepada perbincangan dalam konteks kesatuan sivil yang bersifat sebagai penentang kepada pemerintah. Ia juga membawa maksud konsep masyarakat sivil sebagai agen perubahan terhadap sistem politik sesebuah negara. Sebagai kesan daripada perbincangan ini, aliran pemikiran Marxis mengemukakan teori bahawa entiti sosial yang dilabel masyarakat sivil itu berfaedah, berfungsi atau amat diperlukan di dalam masyarakat. Kewujudannya akan membawa kepada pembentukan kehidupan sosial yang ideal dalam hubungan hidup bermasyarakat dan bernegara.Pada zaman sekarang, konsepsi terhadap masyarakat sivil tidak lagi berbentuk neutral dan idea mengenai masyarakat sivil adalah idea politik. Dan Gramsci menegaskan bahawa, mana-mana pihak yang dapat menguasai masyarakat sivil akan memperolehi kuasa dan sesebuah kerajaan itu akan menjadi kuat kerana sokongan kelompok ini yang memainkan peranan penting di dalam negara. Di dalam konteks Malaysia, kelas pertengahan menguasai sebahagian besar masyarakat sivil menerusi pembabitan dan memegang jawatan-jawatan tinggi di dalam badan-badan masyarakat sivil serta melahirkan lebih ramai anggota kelas pertengahan serta perluasan kelas ini akan mengukuhkan kerajaan.Di sinilah pendekatan ekonomi politik amat jelas serta berguna dalam melihat pelaksanaan dasar penswastaan di negara-negara dunia. Menggunakan tindakan atau polisi bersifat ekonomi dan pada masa yang sama mampu mengukuhkan politik sesebuah kerajaan dapat memastikan kelangsungan mereka memegang kuasa. Kebanyakan kelas menengah lahir menerusi faedah dan imbuhan besar yang disalurkan menerusi dasar ini dan mereka yang menikmati pelbagai imbuhan dan dengan kehendak yang dipenuhi akan menjadi pengawal kepada sesebuah kerajaan.Jika di Malaysia, kaitan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, DEB dengan Dasar Penswastaan adalah jelas dan menjadi sasaran kerajaan untuk membantu kaum Bumiputera mencapai sasaran 30 peratus pemilikan saham atau ekuiti syarikat pada 1990. Pada 1970 pemilikan saham oleh Bumiputera hanya sekitar 2.4 peratus dan bagi tempoh 1981 hingga 1985, jumlah itu meningkat kepada 17 peratus dan pada 1990, jumlah keseluruhan saham Bumiputera termasuk saham persendirian dan amanah mencecah 31 peratus saham. Peratusan yang meningkat ini juga menunjukkan dasar ini telah berjaya membantu kerajaan mencapai aspirasi untuk menyaksikan kaum Bumiputera ini mencapai kejayaan ekonomi yang merapatkan jurang dengan kaum lain dan pada masa yang sama melahirkan golongan-golongan elit dan kelas-kelas yang berpihak kepada kerajaan.Dasar penswastaan berjaya menukar konsep masyarakat sivil sebelum ini yang dianggap sebagai kumpulan penyemak, pengkritik, pemantau dan penentang kepada kerajaan kepada kumpulan yang kuat menyokong sesebuah kerajaan berikutan keperluan hidup yang berjaya dipenuhi oleh kumpulan ini dan ganjaran yang dinikmati mereka. 
Pihak Yang Terjejas Berikutan Dasar Penswastaan Menerusi pendekatan ekonomi politik juga, dua golongan yang terjejas dan menanggung kesan langsung ekoran dasar ini adalah rakyat yang tidak berkepentingan di dalam kerajaan atau parti-parti pemerintah. Mereka ini adalah rakyat biasa yang tidak mempunyai jawatan tinggi dan terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi mendapatkan perkhidmatan daripada kerajaan. Sebelum penswastaan, rakyat hanya perlu membayar kos yang sedikit untuk perkhidmatan kerajaan seperti penggunaan lebuh raya, tarif tenaga elektrik dan air misalnya, perkhidmatan pembentungan dan sebagainya. Bagaimanapun, bayaran itu kemudian meningkat lebih tinggi apabila dasar ini dilaksanakan kerana sektor awam yang menjadi penaung rakyat mula beroperasi bagi mencari keuntungan dan menjana kekayaan kepada negara.            Dengan mudah, dasar ini mencipta keuntungan yang besar melalui tekanan kepada rakyat yang perlu membayar harga yang tinggi untuk perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan. Sehingga di dalam masyarakat, perbezaan adalah amat jelas di antara kelas-kelas iaitu kelas atasan dan pertengahan lebih mudah dikenalpasti kerana kemampuan mereka untuk menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan swasta yang lebih mahal, manakala golongan bawahan cenderung untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan yang masih ada bagi perkhidmatan kerana kos yang murah. Ini jelas sekali memberi implikasi buruk kepada sektor kebajikan kepada rakyat terutama yang miskin dan tidak mempunyai pendapatan tinggi.            Golongan lain yang menghadapi kesan langsung ekoran dasar ini adalah kumpulan pekerja. Syarikat awam yang diswastakan terlebih dahulu akan melaksanakan proses pengecilan organisasi bagi meningkatkan kecekapan syarikat dan memaksimumkan penggunaan tenaga kerja. Pelaksanaan dasar ini menyaksikan begitu ramai pekerja yang diberi pilihan untuk persaraan awal dengan jumlah pampasan yang tidak setimpal atau diberhentikan tanpa adanya sistem sokongan yang dapat membantu golongan pekerja selepas proses pengecilan organisasi.Kikeri (1998) di dalam kajiannya untuk Bank Dunia menyatakan bahawa para pekerja terbabit dan kesatuan sekerja perlu dimaklum mengenai proses reformasi apabila sesebuah organisasi awam ingin diswastakan dan memastikan pekerja menerima manfaat menerusi dasar berkenaan seperti mekanisme pemilikan melalui saham pekerja. Selain itu, pekerja yang diberhentikan perlu diberi pampasan setimpal dan sokongan pendapatan yang lain bagi menjamin kebajikan golongan pekerja dan membantu mereka menjalani proses intergrasi semula ke dalam pasaran buruh di samping menghapuskan halangan-halangan ke arah penciptaan peluang pekerjaan baru.Pembayaran pampasan menerusi skim pemberhentian sukarela merupakan amalan biasa bagi mengurangkan pekerja sesebuah organisasi apabila berlaku penswastaan dan kerajaan perlu memainkan peranan penting seperti menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk membantu pekerja. Penstrukturan semula pekerja adalah sesuatu yang perlu biarpun proses penswastaan tidak berlaku kerana ia adalah sebahagian proses dalam meningkatkan keupayaan syarikat terutama yang sentiasa mengalami kerugian. Maka dalam hal ini, jelas golongan pekerja sentiasa terdedah kepada risiko persaraan awal dan kehilangan punca pendapatan utama serta memerlukan latihan semula bagi memasuki pasaran buruh.Tansel (1998) yang menjalankan kajian terhadap pekerja di Turki yang diberhentikan berikutan penswastaan mendapati golongan pekerja bawahan paling teruk terjejas berikutan kehilangan sumber pendapatan utama berbanding pekerja-pekerja yang lebih muda, pekerja yang berpendidikan dan mereka yang bekerja sendiri. Daripada aspek kebajikan pula, keadaan adalah lebih teruk selepas diberhentikan berikutan ketiadaan jaringan keselamatan sosial yang efektif di negara berkenaan. Berikutan itu, sebahagian besar daripada 1,248 responden yang dikaji berhasrat untuk kembali semula kepada pekerjaan lama bagi meningkatkan tahap kebajikan mereka.Fretwell, Benus dan O’Leary (1999) menjalankan penilaian semula terhadap kesan program buruh aktif membabitkan mereka yang terjejas seperti diberhentikan atau terpaksa bersara awal berikutan pelaksanaan penswastaan serta lain-lain penstrukturan ekonomi. Program buruh aktif telah menimbulkan perdebatan berikutan perbezaan pandangan bagaimana golongan pekerja ini dapat dibantu. Dua pendapat yang sentiasa bercanggah dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan adalah pembabitan kerajaan dan peranan pihak pelabur atau swasta. Ada pihak yang mengatakan langkah yang bersifat kos efektif untuk meningkatkan peluang pekerjaan adalah menerusi penciptaan iklim pelaburan yang baik dan mengurangkan campur tangan kerajaan dalam pasaran. Penyertaan kerajaan hanya dibenarkan dalam memberi latihan kemahiran kepada mereka yang mengganggur supaya membolehkan mereka kembali bersaing dalam pasaran buruh.            Kajian berkenaan mencadangkan supaya program-progam latihan kepada pekerja yang terjejas tersebut diadakan termasuk memberi pekerjaan sementara yang bersifat kemasyarakatan dan mengadakan pemantauan terperinci untuk menganalisa tren terkini pasaran buruh serta membolehkan mereka menerima latihan bersesuaian untuk bersaing semula.Kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa, ILO (1996) mengenai kesan penswastaan di Pakistan melihat isu pekerja dari sudut statik dan dinamik. Dari perspektif yang statik, apa yang berlaku terhadap pekerja dan sektor pekerjaan di Pakistan berikutan penswastaan adalah relevan dan aspek dinamik pula adalah bidang pekerjaan berhubung rapat dengan objektif kerajaan untuk meningkatkan produktiviti. Dalam jangka masa panjang, peningkatan produktiviti dan ekonomi akan mewujudkan suasana positif kepada pertumbuhan pekerjaan walaupun pihak pekerja menerima kesan agak negatif.            Di Pakistan, penswastaan menyebabkan pekerja-pekerja di sektor awam kehilangan perlindungan sosial mereka yang sebelum ini disediakan oleh kerajaan sebelum proses penswastaan. Kebanyakan pekerja juga terpaksa menjalani latihan kemahiran semula bagi menyesuaikan diri dengan organisasi baru yang bertujuan meningkatkan keuntungan syarikat.Wilde (1999) yang menjalankan kajian mengenai peranan majikan dalam proses penswastaan menjelaskan bahawa golongan pekerja dan kesatuan sekerja perlu diberi penjelasan terperinci mengenai segala aspek yang membabitkan mereka dalam proses berkenaan dan majikan perlu mengambil apa yang terbaik untuk memastikan proses tersebut berjalan dengan lancar. Latihan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan perlu diikuti oleh jabatan pengurusan supaya semua aspek penswastaan dapat ditangani khususnya pengendalian tenaga buruh.Bagi menjelaskan fenomena ini dari sudut ekonomi politik maka amat tepat jika pendekatan teori Marxisme dan konflik antara kelas. Antara pandangan kritikal Karl Marx adalah asas ketidakseimbangan kuasa antara kelas-kelas. Bagi pendukung liberal, borjuis iaitu pemilik faktor-faktor pengeluaran dan golongan proletariat iaitu pekerja sepatutnya mempunyai kebolehan membentuk persefahaman atau perhubungan yang aman dan bermanfaat. Bagi Marx, borjuis dan proletariat terperangkap di dalam satu hubungan yang berat sebelah. Pekerja-pekerja yang menganggur dan ketidakmampuan mereka menyusun gerakan pekerja memberikan kapitalis kuasa di dalam semua perbincangan. Tekanan akibat persaingan dan usaha mencipta keuntungan yang paling maksimum menyebabkan borjuis dengan kejam mengekploitasi pekerja di bawah mereka. “Each system of production creates ruling and ruled classes. Each epoch is marked by a particular way of extracting income for the rulers. In Roman times, whoever owned a slave owned a claim on output. In feudal times, lords owned a claim on a output of serfs. Under capitalism, owners of factories and land owned a claim on the output of their wage laborers”“Modern industry has converted the little workshop of patriarchal master into the great factory of industrial capitalists. Masses of laborers, crowded into the fatory, are organized like soldiers. As private of the industrial army they are placed under the command of a perfect hierarchy of officers and seargents. Not only are they slaves of the bourgeois class, and of the bourgeois state, they are daily and hourly enslaved by the machine, by the overlooker and above all, by the individual bourgeois manufacturer himself. The more openly this despotism proclaims gain to be its end and aim, the more petty, the more hateful and the more embittering it is”.                                                                                           
Marx dan Engels              Marx berhujah bahawa penumpuan kekayaan di dalam tangan segelintir kapitalis seterusnya membawa kepada penghapusan sebilangan besar pekerja. Dalam masa yang sama, teknologi yang turut menjadi sebahagian komponen dasar penswastaan ini secara berperingkat akan menggantikan pekerja mewujudkan pengangguran dan menghadkan bayaran gaji kepada tenaga buruh. Inilah realiti yang sedang dialami oleh pasaran buruh di semua negara yang mengamalkan dasar ini sebagai pengukuhan kepada ekonomi dan politik negara terbabit. Perspektif Teori Ekonomi Politik Klasik Terhadap Dasar Penswastaan Asas pendekatan teori ekonomi politik klasik atau liberlisme yang dikenali sebagai “Laissez-Faire, Laissez-Passer” mengangkat pandangan mengenai kebimbangan campur tangan kerajaan yang keterlaluan di dalam pasaran dan usaha membebaskan pembebasan individu daripada tekanan negara. Pihak liberal yakin terhadap usaha memimpin ke arah pasaran bebas.            Dalam konteks klasik ini, tokoh utama pendekatan ini adalah Francois Quesnay (1694-1774), Adam Smith (1723-1790) dan David Ricardo (1772-1823) yang menolak sepenuhnya penyertaan kerajaan di dalam pasaran ekonomi kerana  ia menjejaskan masyarakat dalam mencari kekayaan serta mencipta keuntungan. Quesnay mengutuk campur tangan kerajaan di dalam pasaran kerana menjejaskan masyarakat selaras dengan slogan pendekatan ini iaitu “Laissez-Faire, Laissez-Passer” yang bermaksud “let be, let pass” yang juga mempunyai semangat “jangan campur tangan, biarkan kami sendirian” yang ditujukan kepada kerajaan atau negara.           Smith menyifatkan kerajaan sebagai berbahaya dan tidak boleh dipercayai serta tidak boleh aktif di dalam pasaran bebas yang menyokong inisiatif individu, pemilikan harta swasta dan campur tangan yang terhad oleh kerajaan. Keadaan itu boleh digambarkan menerusi pernyataan Smith di dalam karyanya The Wealth Of Nation, seperti di bawah:  “According to the system of natural liberty, the sovereign has only three duties to attend to, three duties of great importance, indeed, but plain and intelligible to common understanding; first, the duty of protecting the society from the violence and invasion of other independent society; secondly, the duty of protecting, as far as possible, every member of the society from the injustice or oppression of every other member of it, or the duty of establishing an exact administration of justice; and thirdly, the duty of erecting and maintaining certain public works dan certain public institutions, which it can never be for the interest of any individual, or small number of individuals, to erect and maintain; because the profit could never repay the expence to any individual or small number of individuals, though it may frequently do much more than repay it to the great society”.            
Melalui pendekatan klasik ini, jelas peranan kerajaan hanya untuk bertindak sebagai pelindung kepada anggota masyarakat menerusi bidang perundangan dan membina kemudahan-kemudahan rakyat. Walaupun, dasar penswastaan dikatakan sebagai satu proses meliberalisasikan pasaran dengan pengurangan peranan kerajaan di dalam pasaran, ia hanya berlaku pada sudut teori sahaja.            Ini kerana, dasar penswastaan membolehkan kerajaan atau sesebuah negara memainkan peranan lebih besar di dalam pasaran. Syarikat-syarikat awam yang diswastakan mempunyai kuasa monopoli dan kerajaan tetap mempunyai kepentingan serta suara di dalam organisasi-organisasi tersebut melalui pemilikan saham bersama atau menerusi pelantikan wakil-wakil atau individu-individu yang berkepentingan untuk melindungi hak-hak kerajaan di dalam syarikat. Hubungan kerajaan dan individu terbabit pula memudahkan pemberian kontrak-kontrak besar kepada mereka untuk dilaksanakan menerusi syarikat-syarikat swasta.            Dengan itu, kerajaan mempunyai kuasa penuh di dalam pasaran dan memudahkan proses penciptaan keuntungan dengan memberi perkhidmatan bercaj tinggi kepada rakyat umum. Bukti yang nyata pula, kemudahan-kemudahan rakyat yang disebut “public works” turut mengalami proses penswastaan dan sebahagian besarnya mengenakan bayaran untuk rakyat mendapatkan perkhidmatan. Penguasaan kerajaan di dalam pasaran ini terbukti dengan kenaikan caj atau bayaran bagi sebahagian besar projek atau perkhidmatan yang telah diswastakan yang menjelaskan lagi betapa pengaruh kerajaan dapat menentukan hala tuju pasaran tempatan. Analisa Dasar Penswastaan secara keseluruhannya telah berjaya mengukuhkan sesebuah kerajaan yang melaksanakannya dan bagi politik dunia, ia telah berjaya mengurangkan populariti ideologi komunis yang bertujuan menghapuskan penindasan atara kelas-kelas yang disebabkan oleh pemilikan harta swasta. Kejayaan besar dasar ini tidak dapat lagi ditandingi oleh mana-mana kerajaan sekalipun termasuk komunis di China, Russia dan negara-negara bekas komunis Eropah Timur kerana ia memberi manfaat yang terlalu besar kepada sesebuah kerajaan, kesan ekonomi dan politik yang kukuh.  
          Selain menjana pendapatan negara dan pengukuhan ekonomi, kelahiran ramai kelas-kelas menengah dan atasan yang mengisi peranan sebagai masyarakat sivil akan menjadi pengawal kepada sistem politik dan memastikan kerajaan yang melaksanakan dasar ini terus kukuh. Mereka akan dikatakan sebagai pengawal kerajaan kerana amat penting memelihara kerajaan daripada unsur-unsur yang boleh menidakkan mereka daripada menikmati imbuhan serta keselesaan hidup hasil dasar ini. Peralihan syarikat awam kepada swasta memberi ruang kepada kerajaan untuk meluaskan kewujudan masyarakat sivil terutama yang menikmati banyak imbuhan dari segi kemewahan dan keperluan hidup.. Secara ringkas, menerusi dasar ini, kerajaan sebenarnya telah berjaya menguasai dua elemen penting iaitu ekonomi dan politik.Sistem politik yang teguh dan pendapatan yang besar berjaya diperolehi daripada dasar ini. Pihak yang menjadi mangsa adalah rakyat kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi menerusi dasar ini dan ia pula semakin meningkat. Umumnya, keuntungan yang diperolehi syarikat-syarikat swasta ini adalah daripada rakyat yang perlu membayar harga mahal untuk menikmati sesuatu perkhidmatan meliputi sistem jalan raya, telekomunikasi, elektrik dan lain-lain lagi. Dibimbangi kegiatan yang terlalu menekankan kepada keuntungan akan menghakis nilai-nilai murni dalam sesebuah masyarakat.
Dengan itu, pada pendapat saya, pelaksanaan dasar ini memerlukan keseimbangan yang teliti yang memberi faedah kepada kerajaan, sektor swasta dan pentingnya rakyat dilindungi dan bukan dieksploitasi semata-mata untuk keuntungan segelintir pihak tertentu. Mungkin selepas berdekad dilaksanakan dengan meluas, akan sampai pada satu titik setiap negara untuk melihat semula kesan-kesan negatif dasar penswastaan ini seterusnya menyediakan satu perancangan alternatif untuk membolehkan hasilnya dinikmati oleh semua lapisan rakyat tanpa ada diskriminasi.

[1] Berdasarkan laporan Rancangan Malaysia Kelapan, RMK8, 98 projek utama negara telah diswastakan membabitkan pelbagai sektor seperti pembinaan, pengangkutan, elektrik, gas dan sebagainya. Manakala, sejak 1983, sebanyak 203 syarikat telah diswastakan dengan ekutiti Bumiputera mencecah 25.6% peratus pada tahun 2000 dengan nilai melebihi RM8 bilion bagi saham pemilikan syarikat awam yang diswastakan sahaja tidak termasuk saham amanah dan saham persendirian.

0 comments: